PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan memberikan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height.
Anwar turut mendoakan supaya segala urusan petugas keselamatan dan rawatan mangsa dipermudah.
“Mendoakan urusan semua para petugas di Putra Heights dipermudahkan.
“Saya juga meminta kerajaan negeri serta agensi terlibat beri bantuan sewajarnya kepada mangsa yang dipindahkan,” katanya di Facebook, hari ini.
Terdahulu media melaporkan seramai 112 mangsa yang menduduki 49 rumah terjejas akibat kejadian kebakaran membabitkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height, di sini hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamed berkata, jumlah mangsa itu membabitkan penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru dekat sini, yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati semua mangsa yang terlibat membabitkan 37 kediaman di Taman Harmoni dan 12 lagi membabitkan premis di Kampung Kuala Baru.
“Kebanyakan mangsa cedera iaitu luka di bahagian kaki dan sesak nafas. Ada mangsa yang dibawa ke Hospital Putrajaya, Hospital Cyberjaya dan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN