SEREMBAN: Anggota tentera yang telah didakwa di mahkamah kelmarin kerana menumbuk seorang pemandu wanita, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan khianat merosakkan pintu depan kereta milik mangsa sama.
Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah melakukan khianat terhadap harta benda dengan cara merosakkan pintu depan kanan kereta milik Syairah Md. Sharom, 28.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10.20 malam di Taman Satria, Senawang di sini pada 29 Mac lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dengan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh minimum setahun dan boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd. Zainal menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syed Fadil Syed Othman memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung dua anak yang masih kecil, isteri serta ibu bapa.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 19 Mei ini.
Sebelum ini, Abdul Hafiz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang wanita.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menumbuk di bahagian kepala seorang wanita berusia 28 tahun kira-kira pukul 10.20 malam di Taman Satria. – UTUSAN