SEREMBAN: Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang wanita dalam kejadian di Senawang di sini pada 29 Mac lalu.
Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menumbuk di bahagian kepala seorang wanita berusia 28 tahun kira-kira pukul 10.20 malam di Taman Satria, Senawang di sini.
Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd. Zainal menawarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Abdul Hafiz yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung dua anak masih kecil, isteri serta ibu bapa
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan laporan perubatan pada 19 Mei depan.
Sebelum ini, media melaporkan video tular memaparkan seorang pemandu kereta wanita ditumbuk seorang lelaki di Senawang.
Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan mendakwa anaknya dilanggar pemandu kereta jenis Perodua Axia berkenaan ketika melintas jalan.
Tangkapan ke atas lelaki itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN