PERNAH empat tahun bergelar ibu tunggal dan membesarkan dua orang anak sendirian, pelakon, Dynas Mokhtar, memahami apa yang dilalui rakan pelakon, Bella Astillah selepas bercerai dengan suami, Aliff Aziz hampir setahun lalu.
Dynas atau Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 41, kagum dengan semangat Bella menjalankan perniagaan di ekspo usahawan baik di dalam serta luar negara di samping melakukan pekerjaan lain demi menyara dua orang anaknya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masih kecil.
Pelakon KL Gangster: Underworld itu berharap agar Bella dapat bertemu lelaki yang melayankan keluarganya dengan baik serta mampu menjadi contoh bapa yang dihormati buat kedua anaknya.
Menurut Dynas, ciri-ciri itu bagaimanapun ada pada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.
“Saya mendoakan Bella jumpa lelaki yang melayankan baik seperti Syed Saddiq lebih-lebih lagi jika ada anak. Jika tiada pengganti suami, kesian anak-anak membesar tiada figura seorang bapa.
“Waktu saya cerai dulu pun, misi saya mahu cari lelaki baru, itu misi semua orang tapi pada masa yang sama jangan terlalu cepat. Nikmati sebanyaknya masa bujang dan doa untuk diberikan lelaki yang terbaik.
“Tapi ada juga wanita yang tidak mahu langsung berkahwin lagi. Dia mahu besarkan anak sendiri. Tapi dia kena jadi bapa dan emak kepada anak-anak sampai dia membesar. Ia bukan mudah. Kita perempuan banyak emosi kena kawal,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sering bertemu Bella di ekspo perniagaan membuatkan hubungan mereka semakin rapat, Dynas pernah meyakinkan Bella untuk membuka hati menerima Syed Saddiq dalam hidupnya.
Bagaimanapun, penyanyi Tapi Bukan Denganmu itu hanya menutup telinga enggan terlalu memikirkan kata-kata itu.
“Saya cakap pada Bella, tidak mengapalah jika Syed Saddiq jadi pengganti sekalipun. Seronok ada yang layan kita baik begitu.
“Dia cuma cakap ‘tak nak’ dan ‘la la la’ sambil tutup telinga. Saya tak pasti apa hubungan mereka tapi nampak manis,” tambahnya lagi.
Mengulas mengenai keakraban Bella dan Saddiq, Dynas merasakan kedua-dua pasangan itu secocok walaupun datang daripada latar belakang berbeza.
“Masing-masing ada karakter berbeza. Bella daripada industri hiburan yang satu lagi naif, lurus bendul pula. Mereka nampak macam yin dan yang, ia melengkapi hubungan yang ada.
“Apapun saya kata juga jangan tergesa-gesa cari pengganti. Nikmati masa ‘berparti’. Maksud saya, pergilah melancong dengan anak bertiga contohnya ke Legoland.
“Kalau ada suami, kita kena bersedia galas tanggungjawab sebagai isteri sekali lagi.
Nak beli barang pun kena maklumkan pada suami,” ceritanya.
Terdahulu, Dynas pernah bercerai dengan suami pertama Mohd Hafizi Mohamed pada 25 Februari 2014. Melalui perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak Khyra Khalyssa, 7, dan Mohamed Haqaish, 5.
Bagaimanapun, Dynas bertemu cinta yang baru dan berkahwin dengan Shazrik Din pada 21 April 2018.