SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengekalkan jawatannya sebagai Ketua PKR Cabang Port Dickson pada pemilihan peringkat cabang parti itu yang berlangsung semalam.
Naib Presiden PKR itu memperoleh sebanyak 2,147 undi menewaskan pesaingnya, Datuk M. Ravi yang mendapat sebanyak 1,098 undi dalam pertembungan satu lawan satu itu.
Pemilihan semalam turut menyaksikan Ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim tewas dalam pertandingan merebut Ketua Wanita PKR Cabang Kuala Pilah.
Ketua Wanita PKR negeri itu memperoleh 123 undi berbanding pesaingnya, Norliza Mohamed Thani yang meraih 209 undi.
Seorang lagi Ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman mengekalkan jawatan sebagai Ketua Wanita PKR Cabang Seremban menewaskan Normi Bedol dengan kelebihan 162 undi.
Jawatan Ketua Cabang PKR Seremban pula menyaksikan kejutan apabila penyandangnya yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Nazri Kassim tewas kepada pencabarnya, Noor Iskandar Mohamad.
Setiausaha MPN Keadilan Negeri Sembilan, Aliudin Mohamed juga gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban apabila tewas kepada N. Marimuthu.
Sementara itu, bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha menang sebagai Ketua Cabang PKR Rembau menewaskan penyandang, Mohd. Hafiz Mohamad.
Pemilihan ketua cabang semalam turut menyaksikan Azizah Salim Shah menang di Jempol, Ismail Muhamad Noor (Kuala Pilah), Ahmad Izzudin Ismail (Rasah), V. Raja (Tampin) dan Zainal Fikri Abd. Kadir (Jelebu). – UTUSAN