MELAKA: Seorang penolong pegawai perubatan di sebuah Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di negeri ini direman tujuh hari bagi membantu siasatan, selepas disyaki mengemukakan butir matan palsu berjumlah kira-kira RM1.5 juta, dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 29 April ini dikeluarkan Majistret Uthman Abd. Ghani terhadap suspek lelaki berusia 47 tahun itu.
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek ditahan kira-kira pukul 2.28 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
Difahamkan, suspek bertanggungjawab meluluskan perolehan itu kepada kontraktor, namun mengambil kesemua wang berjumlah RM1.5 juta itu daripada kontraktor dan membeli barangan melalui platform e-dagang yang tidak menepati kualiti sepatutnya.
Bagaimanapun perolehan peralatan bukan perubatan itu tidak dilakukan sepenuhnya oleh suspek.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN