PETALING JAYA: Pelakon, Syafiq Kyle mengakui lega apabila pendedahannya memohon doa di hadapan Kaabah agar berjodohan dengan aktres, Mimi Lana diterima dengan baik dalam kalangan orang ramai.
Menurut Syafiq, dia juga bersyukur apabila perkara itu dijadikan sebagai contoh selain mengagumi kebesaran kuasa Sang Pencipta.
“Alhamdulillah, apabila ada yang menjadikan itu sebagai satu contoh, lagi pula itu perkara yang baik.
Apa pun yang terjadi semua ini bukan sebab saya tetapi sebab Allah.
“Usaha saya hanya kecil sahaja, tetapi kebesaran Allah yang lagi besar. Tujuan saya berkongsi apa yang saya buat adalah untuk meraikan kebesaran Ilahi. Tiada niat lain,” katanya.
Tambah pelakon Gadis Masa itu, dia tidak berniat untuk bersikap riyak sebaliknya, bersyukur ramai yang menilai perkongsian itu secara positif.
“Saya lihat perkongsian saya itu diambil dengan sangat positif oleh orang ramai. Namun jika ada yang lihat dari sudut kurang baik, saya mohon maaf. Saya percaya, apa sahaja yang dibuat oleh manusia ada baik dan buruknya.
Sebelum ini, Syafiq mendedahkan dia sentiasa berdoa di hadapan Kaabah agar dijodohkan dengan Mimi sepanjang 14 hari berada di Tanah Suci bagi mengerjakan umrah.
Susulan itu, Syafiq dan Mimi mendirikan rumah tangga pada 14 Februari lalu secara tertutup di Taiping, Perak. -UTUSAN