Altimet galas tugas Ketua Cabang Keadilan Ampang

Altimet galas tugas Ketua Cabang Keadilan Ampang

SYED AHMAD SYED ABDUL RAHMAN ALHADAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet diumumkan sebagai Ketua Cabang Keadilan Ampang yang baharu susulan kemenangan beliau dalam pemilihan parti tersebut.

Berdasarkan laman sesawang Pemilihan 2025 PKR, Altimet yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya meraih 1,926 undi, mengalahkan dua calon lain dalam pertembungan tiga penjuru.

Dua calon lain iaitu Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Mohd. Kamri Kamaruddin memperoleh sebanyak 1,637 undi, manakala Azrul Azwar Ahmad Tajudin (236).

Secara keseluruhan bagi Cabang Ampang, terdapat 4,636 ahli PKR yang layak mengundi dengan 3,815 kertas undi dikeluarkan.

Keputusan itu ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa yang mengesahkan ia benar dan tepat.

Altimet menerusi kenyataan meluahkan rasa syukur dan rendah hati atas kepercayaan yang diberikan oleh para ahli Keadilan Cabang Ampang untuk memikul tanggungjawab itu.

“Kemenangan ini bukan milik saya seorang, tetapi milik seluruh pasukan yang bekerja tanpa henti serta ahli yang percaya bahawa masa depan Keadilan di Ampang memerlukan nafas baharu, kepimpinan berprinsip dan semangat perubahan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli yang turun mengundi dan menyertai proses pemilihan, sekali gus mencerminkan bahawa demokrasi dalam parti masih hidup dan segar.

“Perbezaan pandangan adalah kekuatan kita, bukan kelemahan,” katanya.

Altimet turut menyeru agar semua ahli Cabang mengenepikan perbezaan dan kembali bersatu demi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“Saya hulurkan tangan saya kepada semua tanpa mengira kem, kumpulan atau kecenderungan agar kita mula bersiap sedia dari sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

“Perjuangan belum selesai. Masa depan Ampang bermula hari ini,” katanya.

Bagi pemilihan PKR 2022, Altimet menang dengan memperoleh sebanyak 743 undian sekali gus mengenepikan pesaing terdekatnya, pelakon dan pengarah, Datuk Hans Isaac. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya