Akta Perhimpunan Aman: Sepatutnya kes saya digugur seperti kes lain'

Akta Perhimpunan Aman: Sepatutnya kes saya digugur seperti kes lain’

AMIR Hariri Abd Hadi bercakap kepada media berkenaan prosiding mahkamah berhubung himpunan "Mana Kapal LCS" di Istana Kehakiman Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Mandiri menggesa pihak berkuasa supaya menggugurkan pertuduhan terhadap Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi berkait himpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ di ibu negara, tiga tahun lalu.

Amir Hariri yang juga Pengarah Eksekutif Mandiri turut mendakwa bahawa terdapat beberapa kes melibatkan individu lain yang dituduh di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 telah digugurkan.

“Kalau di mahkamah ini hari ini, kita serahkan kepada pihak Mahkamah Persekutuan, kita cabar perlembagaan Seksyen 9 dan kita harap mahkamah akan tentukan.

“Tapi saya nak maklumkan juga sebelum berlaku pertukaran kerajaan pada 2022, ada tiga lagi kes yang melibatkan seksyen sama telah pun digugurkan dan mereka ini dilihat mesra kepada kerajaan sedia ada jadi kita minta supaya berlaku adil.

“Sekiranya mereka gugurkan pertuduhan di bawah Seksyen 9(5) ke atas aktivis-aktivis lain (seperti) Ketua Pemuda Amanah, ada AMK (Angkatan Muda Keadilan) dan ada yang terlibat dengan ahli Parlimen, saya kira sepatutnya kes saya juga malah kes-kes melibatkan individu lain boleh digugurkan daripada pertuduhan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Istana Kehakiman di sini hari ini.

Media pada 8 Ogos tahun lalu melaporkan, Mahkamah Persekutuan akan menentukan keabsahan peruntukan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung pertuduhan ke atas Amir Hariri dalam prosiding jenayah terhadapnya di Mahkamah Majistret, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abd Hamid membuat keputusan untuk membenarkan permohonan Amir Hariri untuk merujuk persoalan perlembagaan peruntukan berkenaan berkaitan keperluan memberi notis lima hari kepada pihak polis sebelum tarikh himpunan.

Sebelum ini, pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkaitan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Selaku penganjur, beliau didakwa gagal memaklumkan pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lim hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 2 petang, 14 Ogos 2022.

Amir Hariri berkata, selain menggesa agar pertuduhan terhadapnya digugurkan, Mandiri turut menuntut dua lagi perkara dalam proses pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu dengan melibatkan semua pemegang taruh termasuk masyarakat sivil serta organisasi yang berkaitan bagi memastikan undang-undang tersebut lebih adil dan mencerminkan keperluan rakyat.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu mewujudkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Bersama yang terdiri daripada pakar undang-undang, wakil kerajaan dan wakil masyarakat sivil untuk mengkaji atau mencadangkan pindaan yang diperlukan terhadap akta berkenaan.

“Kita ambil maklum bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah pun mengumumkan di dalam Parlimen yang lepas bahawa kerajaan akan meminda Akta Perhimpunan Aman dan kita sambut baik.

“Namun, pada tahun 2018 dahulu selepas pertukaran kerajaan, kerajaan baharu ketika itu telah pun menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Keselamatan (yang terdiri daripada) Majlis Peguam, ada daripada KDN (Kementerian Dalam Negeri), Bukit Aman dan juga badan-badan bukan kerajaan (mereka) duduk berbincang mengenai beberapa undang-undang,” katanya.

Pada 13 Februari lalu, kerajaan setuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan apa juga keputusan daripada badan atau kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya