GEORGE TOWN : Akar pokok yang reput serta struktur tanah yang lembik akibat hujan dikenal pasti sebagai punca utama kejadian batu jatuh di Jalan Paya Terubong yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal warga asing, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, siasatan awal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati, bongkah batu bersaiz 0.45 x 0.36 meter itu menggelongsor dari permukaan cerun akibat lilitan akar yang lemah.
“Batu tersebut dipercayai bergolek dari cerun dan berlanggar dengan bongkah lain di dalam longkang di bahu jalan sebelum jatuh sepenuhnya ke permukaan jalan.
“Berdasarkan kesan batu pecah dan kedudukan mangsa, dia dipercayai telah melanggar batu yang telah jatuh terlebih dahulu, bukan dihempap (oleh batu) seperti yang dilaporkan,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas kepalanya ditimpa batu seberat 50 kilogram (kg) ketika menunggang motosikal di Jalan Paya Terubong, di sini, Jumaat lalu.
Mangsa, seorang buruh binaan berusia 34 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.
Zairil berkata, susulan kejadian itu juga, pihaknya segera mengarahkan JKR negeri serta MBPP untuk menjalankan kajian teknikal dan kestabilan cerun di lokasi kejadian. – UTUSAN