KOTA BHARU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bukan seorang penjenayah sehingga dilabel di bawah Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia tersebut tidak sepatutnya berlaku kepada seorang Menteri Besar.
“Memanglah pimpinan kita (menteri besar atau menteri lain) akan diiringi polis dan pengawal keselamatan, tetapi mengapa ia perlu mendapat pengesahan untuk masuk dan keluar ketika ke luar negara?
“Perkara ini (TCO) tidak pernah berlaku, begitu juga pimpinan tertinggi yang lain untuk ke luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Pas Kawasan Kubang Kerian di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Tunjong, di sini malam tadi.
Tuan Ibrahim mendakwa, ada seorang lagi pimpinan yang beliau kenali turut dikenakan TCO.
Media sebelum ini melaporkan Ahmad Samsuri mendakwa dirinya dilabel dan ditanda sebagai individu di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas mendakwa situasi itu sudah berlaku sejak pertengahan tahun lalu, menyebabkannya ‘ditahan’ dan dibawa ke tepi, setiap kali keluar-masuk sempadan.
Katanya, kawalan tersebut seolah-olah beliau seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata di tanah air sendiri. – UTUSAN