RAUB: Seorang ahli perniagaan bersama pekerjanya masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membersihkan tanah kerajaan secara haram di Kampung Seberang Jelai, Lipis pada November tahun lalu.
Tertuduh, Bong Jau Chong, 79, dan pemandu jengkautnya, Chong Teck Kong, 62, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda seperti yang diperintahkan oleh Hakim Noor Aisah Mohamed.
Mahkamah turut memerintahkan semua jentera yang digunakan dan disita ketika serbuan dilucut hak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh dikesan melakukan kegiatan tersebut hasil risikan dan serbuan yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 21 November 2024 sekitar pukul 3 petang.
Pemeriksaan mendapati kawasan tanah seluas 0.101 hektar itu telah dibersihkan menggunakan sebuah jengkaut tanpa sebarang kebenaran daripada pihak berkuasa. Siasatan lanjut mendedahkan bahawa Teck Kong menerima arahan daripada Jau Chong untuk membersihkan kawasan terbabit yang terletak bersebelahan lot tanah milik ahli perniagaan itu sendiri.
Namun, semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Lipis serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mengesahkan tanah berkenaan merupakan tanah kerajaan dan tidak termasuk dalam mana-mana lot berdaftar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 425(1)(b) dan Seksyen 426C(3) Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM500,000 serta pelucuthakan barang jika sabit kesalahan. – UTUSAN