Ahli Parlimen Raub disiasat halang tugas penjawat awam

Ahli Parlimen Raub disiasat halang tugas penjawat awam

YAHAYA Othman (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas bertempat di Kompleks Logistik Alor Akar di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis menjalankan siasatan lanjut terhadap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan beberapa individu lain berhubung tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam operasi membabitkan kebun durian Musang King di daerah itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kertas siasatan sudah dibuka dua hari lalu susulan tindakan sekumpulan individu termasuk wakil rakyat tersebut yang didakwa menghalang petugas Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menjalankan operasi menyekat dan memusnahkan tanaman haram di kawasan terbabit.

“Siasatan sedang giat dijalankan dan kita sudah memanggil Ahli Parlimen tersebut untuk dirakam percakapan semalam. Beliau hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub pada pukul 3.30 petang.

“Turut ditahan ialah Pengerusi Pertubuhan Save Musang King Alliance (Samka). Polis kini sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya selepas menyelesaikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan bertempat di Kompleks Logistik Alor Akar, di sini semalam.

Menurut Yahaya, beliau sudah pun mengarahkan agar proses siasatan dapat disegerakan untuk tindakan seterusnya. 

Beliau menasihatkan supaya tiada pihak cuba menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas rasmi. 

“Petugas UPNP menjalankan tugas mengikut arahan serta mengikut nas undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya isu berkenaan tidak disensasikan atau dibangkitkan dengan sentimen yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

“Tindakan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. Sekiranya tidak bersetuju, gunakan saluran yang sah seperti aduan rasmi atau tindakan mahkamah,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya