Ahli Parlimen Kota Melaka kesal bangunan warisan diubah suai

Ahli Parlimen Kota Melaka kesal bangunan warisan diubah suai

KHOO Poay Tiong menunjukkan gambar sebuah bangunan warisan di Jalan Tokong, Banda Hilir, Melaka yang didakwa struktur asalnya telah diubah suai tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong kesal dan kecewa terhadap tindakan pemilik sebuah bangunan warisan di Jalan Tokong di sini, yang didakwa telah mengubah suai struktur asal bangunan tersebut tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan.

Poay Tiong berkata, bangunan yang terletak dalam kawasan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) itu telah diberikan kelulusan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada Julai tahun lalu, namun hasil pengubahsuaiannya langsung tidak mencerminkan rupa bentuk asal.

“Saya amat terkejut dan kecewa dengan kerja pengubahsuaian yang dilakukan. Rupa bentuk bangunan ini hampir 100 peratus berubah.

“Ini bercanggah dengan semangat pemeliharaan warisan yang ditekankan oleh UNESCO dan Akta Warisan Kebangsaan 2005,” katanya.

Poay Tiong menegaskan bahawa setiap kerja baik pulih atau ubah suai dalam kawasan warisan perlu mematuhi garis panduan ketat yang mewajibkan pemuliharaan rupa asal bangunan.

“Kita tidak akan tolak ansur dengan sebarang projek yang merosakkan bangunan warisan.

“Jika pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak ambil tindakan tegas, ini akan menjadi contoh buruk dan membuka ruang kepada lebih banyak pelanggaran selepas ini. Kita tidak boleh biarkan sesiapapun ubah suai bangunan lama sesuka hati,” katanya.

Beliau turut mengingatkan MBMB agar tidak mengamalkan sikap pilih kasih atau double standard dan memastikan tindakan tegas diambil sekiranya pemilik bangunan didapati melanggar pelan yang telah diluluskan.

“Saya telah bangkitkan isu ini kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Exco malam tadi. Saya akan terus pantau perkembangan ini dan kita mesti pastikan kejadian sebegini tidak berulang.

“Kes tersebut kini dalam perhatian PBT dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan tindakan lanjut terhadap pemilik bangunan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya