PETALING JAYA: Sidang Khas Dewan Rakyat Khas pada 5 Mei memberi ruang kepada semua ahli Parlimen bukan sahaja dibenarkan meminta penjelasan kerajaan berhubung tarif Amerika Syarikat (AS) malah boleh mengemukakan pandangan semasa sesi penerangan berlangsung.
Parlimen Malaysia memaklumkan, sidang khas itu membincangkan tarif timbal balik yang dikenakan AS yang menyentuh kesan tersebut terhadap ekonomi Malaysia dan tindak balas kerajaan merentasi pelbagai kementerian serta sektor.
Menurutnya, sidang khas itu juga membabitkan penerangan daripada menteri-menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) berkaitan tindakan AS mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara itu.
“Hal ini termasuk penyelarasan penyelesaian jangka pendek dan sederhana, semakan semula dasar-dasar industri tertentu dan perancangan jangka panjang ekonomi negara dalam menghadapi impak perang perdagangan antarabangsa.
“Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) turut membenarkan ahli-ahli Yang Berhormat untuk meminta penjelasan dan memberikan pandangan semasa sesi penerangan berlangsung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Parlimen Malaysia, sidang khas itu adalah atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Urusan mesyuarat khas itu diadakan selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan isu-isu semasa yang mendesak dan memberi manfaat kepada rakyat dibincangkan,” katanya.
Menurutnya, ia akan membabitkan penerangan daripada menteri-menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) berkaitan tindakan AS mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara itu.
Parlimen Malaysia berkata, sidang itu juga dijangka memberi ruang kepada perbahasan yang konstruktif serta penyampaian maklumat yang telus kepada rakyat berkaitan langkah kerajaan dalam mendepani cabaran ekonomi global semasa.
“Siaran langsung sidang khas Dewan Rakyat yang bermula pada jam 11 pagi itu boleh diikuti menerusi saluran YouTube rasmi Parlimen Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus kepada Malaysia yang merupakan antara langkah-langkah baru yang meluas sebagai sebahagian daripada tindakan ‘Hari Pembebasan’ beliau.
Bagaimanapun, AS membuat ‘pusingan U’ apabila menangguhkan tarif timbal balik itu selama 90 hari kepada 65 negara rakan dagangnya termasuk Malaysia. – UTUSAN