PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan sambutan Hari Vaisakhi dan Tahun Baharu Tamil kepada seluruh masyarakat Sikh dan Tamil di negara ini.
Dalam perutusan sempena sambutan tersebut, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar perayaan tahun ini membawa lebih banyak kegembiraan dan kesejahteraan.
“Moga tahun ini membawa kegembiraan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua yang meraikannya,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa keharmonian dalam kalangan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa adalah tunjang kepada kemakmuran negara.
Hari Vaisakhi yang diraikan oleh masyarakat Sikh menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Sikh serta memperingati pembentukan Khalsa iaitu sebuah institusi keagamaan dan sosial yang penting dalam kepercayaan Sikh.
Sementara itu, Tahun Baharu Tamil atau Puthandu disambut oleh masyarakat Tamil sebagai permulaan tahun baharu dalam kalendar Tamil dan lazimnya diraikan dengan amalan keagamaan, kunjungan keluarga serta hidangan tradisional. – UTUSAN