IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zainol Fadzi Paharudin masih mengekalkan tempat duduknya di dalam DUN Perak.
Ia sekali gus menangkis desas-desus kononnya kedudukan beliau akan diubah bagi memberi laluan kepada ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi yang kini merupakan Setiausaha Bersatu negeri.
Zainol Fadzi pada Mac lalu melepaskan jawatan Setiausaha Bersatu Perak dan diisi oleh Nadziruddin.
Bagaimanapun kedudukan Nadziruddin tetap diubah bagi mempamerkan senioriti tanpa mengubah kedudukan Zainol Fadzi.
Perubahan tempat ADUN Changkat Jong itu mengubah tempat ADUN Bota, Kenering, Kuala Sepetang dan Selinsing.
Perkara itu disahkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ekoran permohonan daripada Perikatan Nasional (PN) sendiri di blok pembangkang.
“Ia supaya ahli dewan semua dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik dan lebih efisien dalam dewan,” katanya semasa persidangan DUN Perak di sini hari ini.
Pada Jumaat lalu, Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan menghantar surat permohonan kepada Speaker DUN Perak untuk menukar tempat duduk Zainol Fadzi.
Namun permohonan tersebut ditolak dalam surat jawapan balas yang diterimanya serta menafikan hubungannya dengan ADUN Sungai Manik itu bermasalah. – UTUSAN