IPOH: Polis masih menunggu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad untuk tampil memberi keterangan berhubung dakwaan membuat ugutan jenayah dengan menggunakan objek menyerupai pistol.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, ahli politik itu telah dimaklumkan untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan diharap dapat tampil dalam masa terdekat.
“Kita tidak beri ‘dateline’ (untuk hadir) tapi dalam minggu inilah. Lebih cepat (hadir) lebih baik untuk kita selesaikan siasatan. Kita pun tidak mahu jadi isu.
“Kita faham beliau sibuk untuk kempen di Ayer Kuning, tapi diharap beliau akan hadir dalam minggu ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Noor Hisam menyempurnakan pemakaian pangkat Superintenden Johari Yahya yang kini menggalas tugas sebagai Ketua Polis Daerah Tapah yang baharu dan Superintenden Charan Ai Wan pula dengan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Siput.
Bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, serah tugas yang disaksikan Noor Hisam itu dilakukan antara pemangku, Deputi Superintenden Mohd. Fadzil Ismail kepada Johari dan IPD Sungai Siput pula antara Deputi Superintenden Mohd. Rohaizimi Razali kepada Charan.
Menurut Noor Hisam, setakat ini lapan saksi telah dirakam keterangan dan dijangka akan bertambah berikutan beberapa saksi lain termasuk individu yang membuat dakwaan masih belum tampil.
“Daripada rakaman percakapan (lapan individu) itu kita akan dapat lagi (saksi). Setakat ini, dia (individu yang membuat dakwaan) belum hadir,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit lima saat yang memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Kalai mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol kepada calon dan ahli-ahli yang sedang merayu undi.
Lelaki yang mendakwa sebagai calon timbalan ketua cabang Tambun itu berkata, kejadian berkenaan disaksikan ramai dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap Muhamad Arafat. – UTUSAN