'Adik sangat ceria, bergambar raya sebelum meninggalkan kami'

‘Adik sangat ceria, bergambar raya sebelum meninggalkan kami’

RIFAAI Adzraai menunjukkan gambar raya keluarga yang diambil di studio baru-baru ini dengan arwah adiknya paling kanan sekali. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Dua keluarga tidak menyangka kegembiraan mengambil gambar raya bersama adalah kenangan terakhir dengan ahli keluarga mereka yang maut akibat lemas dalam lubang pembetung di Kampung Ibol, Sumpitan dekat Lenggong semalam.

Rifaai Adzraai, 38 yang merupakan abang kepada mangsa Mohd. Fakhrurazi Adzraai, 37, berkata, pada Sabtu lalu mereka enam adik beradik dengan ibu mengambil gambar bersama dan merupakan kali pertama dirakam secara studio di Kuala Kangsar.

Jelasnya, mereka kemudian berpisah apabila Fakhrurazi tidak dapat mengikuti keluarga untuk berkonvoi beraya di Pulau Pinang kerana perlu bekerja.

“Dia tak ikut kerana perlu masuk kerja. Kami tak sangka ia adalah rakaman gambar terakhir kami bersama,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Hospital Taiping hari ini.

Semalam, tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia meninggal dunia akibat lemas dalam lubang pembetung ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan sebuah resort baharu di Kampung Ibol, Sumpitan dekat Lenggong.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dua lelaki tempatan berusia 29 dan 37 tahun disahkan maut di lokasi kejadian manakala lelaki warga Indonesia itu meninggal dunia di Hospital Gerik.

Rifaai berkata lagi, adiknya itu seorang yang pendiam tetapi ringan tulang membantu keluarga dan rakan-rakan, serta berkelakuan sangat ceria semasa menyambut Syawal kali ini.

“Die seorang yang rajin dan mengambil upah kerja-kerja di kampung. Saya ambil maklum tentang pekerjaan dia tetapi tidak tahu lanjut mengenainya. Kami sedih dengan pemergiannya. Dia begitu ceria sewaktu kami sekeluarga mengambil gambar” kata beliau tentang adiknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN