KUALA LUMPUR: “Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup leher dan diperlakukan zalim?”
Demikian luahan ‘abang belon’ atau nama sebenarnya Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, berhubung kejadian yang menimpanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, baru-baru ini.
Katanya, walaupun dia mempunyai rekod lampau berkaitan apa-apa kes sekalipun, ia bukan lesen untuk penguat kuasa bertindak sedemikian.
“Kalau saya ada kes lampau adakah itu lesen untuk siapa-siapa sahaja boleh pukul saya? Kalau saya miskin, susah, ada kes lampau adakah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh layan saya macam sampah?
“Kalau saya ada kes lampau, adakah maksudnya saya tidak ada tempat untuk lawan orang yang buat salah dengan saya? Saya ambil tindakan itu untuk mempertahankan maruah diri dan keluarga.
“Pada 28 Mac lalu di Sogo, saya hanya jual belon, saya tidak jual dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Dang Wangi di sini, hari ini.
Tambah Muhammad Zaimuddin, dia yang bekerja sebagai kedi di kelab golf ketika itu menjual belon untuk mencari pendapatan tambahan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Saya hendak berubah. Bukan mudah jadi orang miskin dan susah. Saya akan lawan sebab perkara ini zalim.
“Kalau saya miskin, susah ada kes lampau adakah DBKL boleh layan saya macam sampah? Saya hanya mencari sesuap nasi bagi diri saya dan keluarga saya. Kami pun hendak berhari raya macam orang lain,” katanya.
Tegasnya, pihak berkuasa seharusnya menjaga integriti dan mengikut peruntukan undang-undang ketika melaksanakan tugas.
Pada 29 Mac lalu, akhar melaporkan berlaku perselisihan antara peniaga belon dan penguat kuasa DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Berdasarkan dua rakaman video tular dalam media sosial, berlaku aksi tolak menolak antara penguat kuasa DBKL dan sekumpulan peniaga yang cuba mempertahankan barangan jualan mereka.
Akibat kejadian itu, Muhammad Zaimuddin menerima rawatan di hospital.
Insiden itu menerima reaksi pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik yang mahu siasatan terperinci dilakukan segera. – UTUSAN