PETALING JAYA: Peguam kepada isteri Edika Eusof, Nor Hidayah Yusri memberitahu terdapat 10 dakwaan yang disenaraikan oleh anak guamnya sebagai alasan permohonan cerai.
Mohd Yazid Hazim dari Tetuan Yazid Azuhan Associates berkata, dakwaan tersebut tidak boleh didedahkan demi menjaga aib anak guamnya dan juga Edika sendiri.
Katanya, mewakili Nor Hidayah, mereka sudah sudah bentangkan fakta-fakta kes untuk mahkamah teliti permohonan cerai itu sama ada wajar atau tidak pihak Nor Hidayah mahu bercerai dengan suaminya.
“Selepas fakta itu dibentang dan dakwaan itu dijawab oleh Edika. Mahkamah turut memanggil anak sulungnya untuk memberi keterangan terhadap setiap dakwaan Nor Hidayah terhadap Edika.
“Mahkamah menerima setiap keterangan dan alasan Nor Hidayah dan suka saya nyatakan mahkamah menerima alasan yang paling kritikal dalam rumah tangganya yang sudah berlalu selama lebih 20 tahun,” kata Mohd Yazid.
Beliau memberitahu, perkara itu berlarutan kerana Nor Hidayah bermurah hati dan mahu menjaga maruah keluarga.
“Sampai sekarang barulah dia ada ketabahan atau kerelaan untuk memohon. Ini pun kerana dia sudah tidak tahan sangat,” jelasnya.
Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan 5 Mei ini sebagai tarikh untuk Edika melafazkan cerai terhadap Nor Hidayah. – UTUSAN