KAMPAR: Kemalangan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 308 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di sini semalam berpunca daripada kejadian sebuah kereta mengejar kenderaan pelbagai guna (MPV).
Difahamkan, insiden itu berpunca kerana perselisihan faham berkaitan isu keluarga yang membabitkan seorang lelaki yang memandu Honda City mengejar adiknya yang dikatakan mengikut teman lelaki menaiki Proton Ertiga.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan kemalangan itu pada pukul 10.46 pagi semalam yang tular dalam media sosial.
Katanya, kemalangan tersebut tidak mengakibatkan kemalangan jiwa namun siasatan awal mendapati terdapat unsur jenayah yang berlaku sebelum kemalangan itu berlaku.
“Kejadian berlaku di lorong kanan lebuh raya apabila salah satu kenderaan terbabit didapati membrek secara mengejut yang menyebabkan ia dilanggar dari arah belakang oleh dua kenderaan lain.
“Kemalangan berpunca daripada perselisihan faham di antara dua kenderaan itu dan berlaku aksi kejar mengejar sebelum salah satu kenderaan membrek secara mengejut,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengesahkan kejadian itu membabitkan pemandu Honda City bertindak mengejar adiknya yang dikatakan mengikut teman lelaki menaiki Proton Ertiga dan kes itu telah dirujuk tersebut dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Selangor.
“Kes sudah dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang bagi tindakan selanjutnya. Siasatan awal mendapati terdapat unsur jenayah yang berlaku sebelum kemalangan ini.
“Benar (abang mengejar adik perempuan). IPD Kampar menyiasat kes kemalangan di bawah Peraturan 10 LN 166/59. Sementara kes jenayah diambil tindakan oleh IPD Serdang kerana kejadian bermula di sana,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial video berkaitan sebuah Proton Ertiga berwarna putih yang sedang dikejar oleh Honda City warna kelabu secara tiba-tiba berhenti mengejut di tengah-tengah lorong lebuh raya yang menyebabkan kemalangan beberapa kenderaan. – UTUSAN