KUALA LUMPUR: Keluarga Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kejadian menimpa penjual belon tersebut di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini sehingga mengakibatkan kecederaan pada dirinya.
Peguam, Rafique Rashid berkata, pihak ‘abang belon’ telah membuat laporan polis kira-kira pukul 11 pagi tadi dan keterangan Muhammad Zaimuddin akan diambil pihak polis bagi membantu siasatan.
Malah, katanya, dakwaan paling tidak masuk akal apabila mengaitkan kejadian yang menimpa Muhammad Zaimuddin dijadikan sebagai alat tunggangan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Pelbagai tomahan kononnya dia dibayar untuk berlakon.. ini semua tidak berasas dan langsung tidak masuk akal sedangkan kita tidak tahu dia (Abang belon) undi parti mana.
“Justeru, langkah awal diambil dengan laporan polis dibuat pagi ini oleh Muhammad Zaimuddin berkaitan hari kejadian diikuti dengan tindakan undang-undang yang akan diambil dia dan keluarganya,” katanya ketika sidang akhbar di Dang Wangi di sini hari ini.
Menurutnya, ada beberapa pihak turut melemparkan tohmahan mengatakan Muhammad Zaimuddin berlakon tidak boleh berjalan sedangkan kecederaan dialaminya membabitkan tulang belakang iaitu T-12.
“Kita ada bukti kecederaan dialaminya membabitkan T-12 yang mampu memberi kesan terhadap saraf. Bagaimanapun kita sedang menunggu laporan perubatan penuh Muhammad Zaimuddin,” katanya.
Sementara itu, pegawai perubatan swasta, Dr. Mohd. Hafidz Rizal berkata, kecederaan dialami membabitkan T-12 yang mampu menganggu saraf sehingga berisiko lumpuh sekiranya ia semakin kronik.
Malah, katanya, akibat kecederaan tersebut, pembedahan bagi sakit angin pasang (hernia) yang dialami Muhammad Zaimuddin terpaksa ditangguhkan.
“Dia kini terpaksa memakai alat untuk menampung pinggang selama tiga ke enam bulan serta berkerusi roda dan menahan sakit.
“Hasil dapatan ini boleh digunakan di mahkamah namun laporan perubatan penuh belum diperoleh” katanya. – UTUSAN