KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Aaron Aziz menggesa kerajaan mengambil tindakan yang lebih efektif bagi menanggani masalah pengurusan membabitkan sejumlah besar agensi-agensi umrah tempatan yang semakin menjadi-menjadi kebelakangan ini.
Kata Aaron, masalah tersebut, yang membebankan dan mengakibatkan ramai jemaah menderita, sepatutnya ditangani daripada terus menular dengan pelaksanaan undang-undang yang lebih berat.
“Kes terbaru membabitkan 40 jemaah yang menjadi mangsa gara-gara kelemahan sistem pengurusan sebuah agensi pengendali umrah yang bekerjasama dengan saya sebelum ini.
“Simpati terhadap nasib jemaah-jemaah yang menjadi mangsa, saya guna duit sendiri, sekitar RM90,000 untuk beli tiket penerbangan bagi membolehkan mereka pergi juga ke tanah suci.
“Kes-kes sebegini banyak berlaku. Saya harap kerajaan ambil tindakan lebih efektif untuk pastikan masalah ini tidak bertambah.
“Bukanlah tangkap atau penjara agensi yang bermasalah ini, cukuplah tindakan lain, yang berkesan dikenakan terhadap mereka. Terlalu ramai jemaah yang menjadi mangsa,” katanya yang ditemui sempena majlis Raya Aidil-fit-Rizz iQIYI semalam.
Aaron mengulas mengenai tindakannya membelanjakan sekitar RM90,000 bagi menerbangkan 40 jemaah yang menjadi mangsa kelemahan operasi sebuah agensi pengurusan umrah baru-baru ini.
Aaron yang sebelum ini pernah bekerjasama mempromosikan pakej umrah agensi berkenaan mengesahkan sudah tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan dengan syarikat tersebut.
“Saya tidak kata syarikat itu menipu. Cuma operasi dan pengurusan mereka lemah sehingga membuatkan jemaah yang sepatutnya mereka terbangkan ke Tanah Suci, tidak dapat mengerjakan umrah.
“Sebab itu saya keluarkan duit saya sendiri untuk beli tiket penerbangan agar jemaah-jemaah terbabit dapat juga ke Mekah.
“Duit yang saya dahulukan itu syarikat tersebut dalam proses pulangkan secara berperingkat.
Saya tidak mahu ambil tindakan undang-undang kerana mengenangkan kakitangan mereka yang tidak bersalah akan hilang pekerjaan sekiranya syarikat itu ditutup.
“Ia syarikat yang besar. Tapi sekarang ini saya sudah tidak ada kaitan dengan mereka lagi,” katanya. – UTUSAN