AADK ambil tindakan awal, tiada penggunaan dadah fentanyl di Malaysia

AADK ambil tindakan awal, tiada penggunaan dadah fentanyl di Malaysia

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sudah mengambil tindakan awal bagi membendung dadah sintetik berbahaya dikenali sebagai fentanyl

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya mengambil pendekatan untuk bertindak secara strategik dan menyeluruh untuk mencegah pengambilan dadah itu di Malaysia meskipun tiada penagihan di negara ini.

“Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan ancaman serius fentanyl yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa dan kini mula dikesan cuba diseludup ke negara ini. 

 “Fentanyl adalah sejenis opioid sintetik yang digunakan secara sah dalam bidang perubatan sebagai ubat tahan sakit yang sangat kuat,” katanya di sini.

Kata beliau, penggunaan Fentanyl amat berbahaya kerana 100 kali lebih kuat daripada morfin dan 20 hingga 40 kali lebih kuat daripada heroin.

“Sehingga kesan dos kecil boleh membawa maut menjadikannya antara dadah paling berbahaya di dunia,” jelasnya.

Ruslin berkata, Fentanyl yang juga dikenali sebagai ‘dadah zombi’ itu adalah ancaman baharu yang serius dalam landskap penyalahgunaan dadah di Malaysia.

Menurut beliau, AADK bersama agensi penguatkuasaan lain dan institusi akademik, sedang giat mengambil langkah proaktif untuk mengekang kemasukan dan penyalahgunaan dadah itu demi keselamatan masyarakat.

“Dalam menghadapi ancaman fentanyl yang sangat berbahaya, AADK perlu bertindak proaktif sebelum ia menjadi krisis seperti di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

“Antara tindakan yang diambil AADK termasuk kempen kesedaran bersasar berkaitan bahaya fentanyl kepada masyarakat umum khususnya belia dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT),”ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan latihan kepada pegawai AADK mengenai ciri penggunaan fentanyl, simptom dan langkah kecemasan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta institusi penyelidikan. 

“Pada masa sama , kami juga akan menyesuaikan modul rawatan dan pemulihan sekiranya kes penagihan fentanyl muncul dengan menyediakan protokol rawatan khas. 

“Pendekatan ini penting memandangkan dadah sintetik berkenaan memerlukan rawatan lebih intensif dan kawalan risiko terlebih dos,” jelasnya. 

Beliau berkata, lebih 70,000 kematian pada 2023 dikaitkan dengan fentanyl di AS kerana ramai mangsa terjebak melalui pil palsu yang dicampur dadah itu tanpa mereka sedar. 

“Penagih pula tidak tahu dos sebenar mengakibatkan mereka terlebih dos (overdose) serta-merta.

“Malaysia mungkin belum dilanda krisis seperti di AS tetapi sindiket antarabangsa kini menjadikan negara kita sebagai laluan transit dan pasaran sasaran,”katanya.

Ruslin berkata, penting untuk semua pihak bekerjasama bagi membendung penyalahgunaan dadah berbahaya itu di negara ini-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya