PETALING JAYA: Hujan lebat yang melanda awal pagi tadi mengakibatkan banjir kilat sehingga menjejaskan 80 buah rumah di Kampung Paya Jaras Hilir, di sini.
Kejadian berlaku sekitar jam 6.31 pagi, dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, sebaik tiba, pasukan operasi mendapati air banjir mencecah kedalaman sehingga 0.9 meter.
“Bagaimanapun, banjir kini menunjukkan tanda surut dan tiada pemindahan mangsa dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam insiden berasingan di Jalan Industri 4, Kampung Baru Sungai Buloh, BBP Bukit Jelutong turut menerima laporan banjir kilat sekitar jam 5.01 pagi, melibatkan enam buah rumah dengan kedalaman air sekitar 0.6 meter.
“Penduduk enggan berpindah memandangkan paras air menunjukkan tren penurunan,” katanya. – UTUSAN