SEPANG: Seramai 632 orang petugas barisan hadapan Tabung Haji (TH) digerakkan secara berperingkat ke Arab Saudi bermula hari ini bagi membuat persiapan awal operasi musim haji tahun 1446H/2025M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, TH menempatkan para petugas haji tanah suci secara menyeluruh merangkumi pelbagai sektor.
Beliau berkata, ia termasuk pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, pengangkutan, sajian, bagasi dan khidmat pelanggan
“Bagi musim haji 1446H ini, terdapat dua kumpulan petugas utama iaitu Petugas Rombongan Kebajikan seramai 358 orang dan Petugas Rombongan Perubatan seramai 274 orang.
“Saya percaya gabungan daripada pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman inilah yang membentuk satu pasukan yang kuat dan mampu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada jemaah haji negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, dua penerbangan kumpulan petugas seramai 74 orang telah mula berlepas hari ini.
“Pergerakan ini diikuti dengan kumpulan selebihnya yang akan berlepas secara berperingkat bagi memastikan segala persiapan dalam keadaan terbaik sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Mekah.
“Kesemua petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan ini telah mengikuti kursus yang cukup komprehensif bagi meningkatkan kecekapan, pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya dan cukup terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menyantuni 31,600 bakal haji negara,” katanya.
Dalam pada itu, penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula pada 29 April ini, manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun depan.
Pada tahun ini, hari wukuf iaitu tarikh 9 Zulhijjah dijangka pada hari Khamis, 5 Jun depan.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd. dan Saudia Airlines.
Sebanyak lapan buah stesen berlepas akan digunakan untuk para jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri iaitu di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – UTUSAN