IPOH: Sebanyak 50 rumah rosak akibat ribut berserta hujan di daerah Perak Tengah petang tadi.
Kejadian sama dilaporkan berlaku di Larut Matang dan Selama dan di Sungai Manik di Hilir Perak.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, kejadian berlaku antara pukul 4.30 petang hingga 6,30 petang itu membabitkan enam kampung di Perak Tengah iaitu Kampung Seberang Perak, Kampung Pasir Jenderis, Kampung Kepala Pulau, Kampung Pulau Besar, Kampung Gajah dan Kampung Pasir Salak.
Menurutnya, ribut di Perak Tengah menyebabkan beberapa buah rumah tercabut bumbung dan mengalami kerosakan teruk.
“Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jejawi pada pukul 7 malam tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas,” katanya.
Menurutnya, kejadian ribut turut berlaku di Sungai Manik di Hilir Perak, mengakibatkan enam buah rumah mengalami kerosakan.
Katanya, kejadian ribut juga dilaporkan di Larut Matang dan Selama di Jalan Pengkalan Cemerlang, Taman Medan Pengkalan, Taman Damai, Pengkalan Air, Taman Pengkalan Cemerlang, Kampung Pak Darus, dan Kampung Batu 2½.
“PPS dibuka di Dewan Serbaguna Taman Kaya bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
“Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini dan pihak berkuasa masih menjalankan penilaian terhadap kerosakan yang berlaku,” katanya. – UTUSAN