JOHOR BAHRU: Seramai 41 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri ini memperoleh keputusan A+ dalam semua subjek, meningkat lebih 100 peratus berbanding 20 pelajar pada tahun sebelumnya.
Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Hanafi Samad berkata, Indeks Gred Purata Nasional (GPN) Johor adalah 4.36 mata, mengatasi pencapaian GPN Nasional 4.49 mata.
“GPN Johor iaitu 4.36 mata merupakan pencapaian terbaik negeri ini dalam tempoh lima tahun, dengan rekod peningkatan dalam empat tahun berturut-turut.
“Seramai 1,513 calon mendapat keputusan cemerlang, iaitu sama ada A+, A atau A-, manakala seramai 4,096 calon mendapat sekurang-kurangnya 1B dan 6,740 calon meraih sekurang-kurangnya 1C,” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Johor Tahun 2024 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), di sini hari ini.
Mohd. Hanafi memberitahu, seramai 40,266 calon atau 94.49 peratus calon SPM 2024 di negeri ini layak mendapat sijil selain berlaku pengurangan jumlah calon tidak hadir, iaitu seramai 565 calon, berbanding 901 orang pada 2023.
“Selain itu, pencapaian calon berkeperluan khas (CBK) turut menunjukkan prestasi baik dengan seramai 16 daripada 168 calon mendapat keputusan cemerlang, iaitu 8A seramai empat orang; 7A (4) dan 6A (4).
“Pada masa sama, berlaku peningkatan daripada 75 buah sekolah kepada 81 sekolah di negeri ini yang mencapai kelulusan 100 peratus layak mendapat sijil melibatkan sekolah dalam dan luar bandar,” katanya.
Mohd. Hanafi berkata, jurang prestasi antara calon SPM bandar dan luar bandar juga berjaya dikurangkan dengan hanya perbezaan 0.02 mata, sekali gus menepati hasrat menjadikan Johor peneraju dalam bidang pendidikan di negara ini.
“Tahniah dan syabas kepada semua calon yang mendapat keputusan cemerlang, semoga kejayaan ini akan diteruskan dalam apa jua bidang yang mereka sertai pada masa depan.
“Kepada calon yang mendapat keputusan kurang cemerlang, saya berharap mereka tidak berputus asa, sebaliknya akan berusaha lebih kuat untuk mencapai kejayaan,” katanya.-UTUSAN