305 mangsa, 237 premis dan 390 kenderaan rosak saluran gas terbakar

305 mangsa, 237 premis dan 390 kenderaan rosak saluran gas terbakar

KEJADIAN kebakaran yang berlarutan hampir lapan jam bermula kira-kira pukul 8 pagi itu turut menjejaskan 390 kenderaan dan merosakkan 237 premis di sekitar lokasi itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Seramai 305 mangsa dilaporkan terkesan dalam kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini hari ini.

Kejadian kebakaran yang berlarutan hampir lapan jam bermula kira-kira pukul 8 pagi itu turut menjejaskan 390 kenderaan dan merosakkan 237 premis di sekitar lokasi itu.

Ketika awal kejadian, api dianggar menjulang lebih 30 meter ke udara manakala suhu api mencecah 1,000 darjah Celsius.

Namun kebakaran semakin mengecil dan gas kian berkurangan pada pukul 2 petang sebelum api padam sepenuhnya pada pukul 3.45 petang.

Pada awalnya, penduduk dikejutkan dengan letupan besar umpama letusan gunung berapi diikuti dengan kebakaran mengakibatkan mereka lari bertempiaran meninggalkan kediaman malah ada yang terjun ke sungai berdekatan akibat bahang kebakaran terbabit.

Siasatan awal mendapati, kebakaran berpunca daripada kebocoran paip gas sekali gus menyebabkan kebakaran saluran sepanjang 500 meter (m).

Letupan yang menyebabkan api menjulang tinggi dapat dilihat orang ramai sejauh beberapa kilometer malah mengakibatkan beberapa rumah terjejas teruk.

Berdasarkan video dan gambar dikongsi dalam media sosial, beberapa perkakas barangan rumah atau plastik cair bahkan kenderaan rosak dipenuhi debu akibat kejadian terbabit.

Petronas Gas Bhd. dalam satu kenyataan mengesahkan kebakaran berlaku di saluran paip utamanya berhampiran Putra Heights.

Petronas Dagangan Bhd (PDB) mengesahkan kejadian kebakaran tidak berlaku di mana-mana stesen minyak Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, daripada jumlah mangsa yang terjejas, 40 orang dibawa ke hospital dan 125 orang menerima rawatan di lokasi.

“Tiada kematian dan kebanyakan mangsa cedera akibat melecur serta tersedut wap haba panas,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Nor Hisham, sebanyak 390 kenderaan turut terjejas dan terbakar dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, daripada jumlah itu, kenderaan yang terbakar membabitkan 265 kereta, 57 motosikal, bas (tiga buah), van (enam buah) dan sebuah lori.

“Sebanyak 237 premis serta kediaman turut terkesan akibat kebakaran terbabit. Ia membabitkan sebanyak 88 unit bangunan yang terdiri daripada 78 unit rumah dan 10 unit premis kedai terbakar.

“Kategori kebakaran rumah antara 10 hingga 90 peratus dan punca insiden terbabit masih dalam siasatan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan dan Petronas memberikan bantuan segera berjumlah RM5,000 kepada pemilik kediaman yang rosak teruk serta RM2,500 kepada mereka yang terjejas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu adalah untuk membantu mereka yang terkesan akibat insiden kebakaran berkenaan.

“Untuk langkah segera dalam satu atau dua hari ini, Petronas dan kalau perlu Kerajaan Persekutuan akan lihat keperluan menambah (bantuan), bagi rumah yang rosak sepenuhnya itu diberikan RM5,000 segera.

“Ini supaya mereka dapat belanja sementara dan yang mana (sedikit) terkesan itu, (bantuan) itu RM2,500,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan awal insiden kebakaran saluran paip gas itu dijangka siap dalam tempoh 72 jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya