PETALING JAYA: Seramai 2,806 individu ditahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) menerusi pelbagai operasi yang dijalankan sejak awal tahun hingga 4 April lalu dengan nilai rampasan RM4.8 bilion.
Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 3,773 kes atau serbuan direkodkan membabitkan pelbagai elemen di bawah jabatan itu.
“Ini satu jumlah yang sangat membanggakan malah kepimpinan pasukan khususnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah menyuarakan rasa gembira dan bangga dengan pencapaian yang telah dibuat oleh kita.
“Kejayaan itu merupakan sebahagian daripada titik tolak untuk mengangkat nama KDNKA sebagai pasukan yang mampu melaksanakan pelbagai tugasan yang diamanahkan,” katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Pengarah KDNKA di Facebook di sini hari ini.
Azmi berkata, kejayaan itu bukan titik noktah untuk pihaknya berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi.
“Malah ia merupakan sebahagian daripada cabaran dalam perkhidmatan serta usaha untuk kita tingkatkan lagi pencapaian,” katanya.
Jelasnya, beliau telah mengarahkan Urusetia dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Gerakan KDNKA untuk merangka dan menyediakan satu format laporan berkaitan rampasan yang telah diserahkan kepada agensi berkaitan.
“Laporan ini agar apa yang kita rampas dan diserahkan kepada pihak berkenaan, mereka perlu melaporkan tindakan yang mereka anvil dalam menguruskan Hasil rampasan yang KDNKA telah laksanakan.
“Pasukan KDNKA juga perlu meningkatkan ilmu kepolisan.Saya juga berharap semua penyelia apabila kita melaksanakan serbuan, tangkapan, rampasan, pastikan semua aspek kesalahan yang ada mengikut undang-undang,” ujarnya.- UTUSAN