SUBANG JAYA: Sebanyak 270 buah rumah yang terlibat dalam insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu disahkan selamat untuk didiami semula.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rumah-rumah tersebut merupakan sebahagian daripada 437 buah kediaman yang berada dalam radius 325 meter dari pusat letupan atau ‘ground zero’ yang telah selesai dinilai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Daripada 571 buah kenderaan yang diperiksa, sebanyak 88 buah mengalami kerosakan melebihi 50 peratus, 332 buah rosak kurang daripada 50 peratus, manakala 151 buah lagi tidak terjejas,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, hari ini.
Mengulas aspek keselamatan kawasan sekitar, katanya, seramai 120 anggota polis ditugaskan berkawal 24 jam melibatkan semua laluan keluar masuk kawasan perumahan dan kampung sekitar.
“Sama ada daripada tugas am mahupun Pasukan Gerakan Am (PGA), semua terlibat dalam kawalan menyeluruh. Jika ada kehilangan harta, orang ramai boleh buat laporan di balai berhampiran atau di balai polis bergerak di PPS,” katanya.
Bagaimanapun katanya setakat ini, tiada laporan kecurian diterima namun orang awam digalakkan untuk tampil membuat aduan jika mengalami kehilangan barang atau harta benda dengan membuat laporan di balai polis berhampiran atau di balai polis bergerak yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Letupan saluran gas milik Petronas pada jam 8.10 pagi Selasa lalu menyebabkan api setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil hampir lapan jam untuk dipadamkan.
Kejadian tersebut mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 separa musnah, 57 terjejas tanpa kebakaran dan 218 lagi tidak mengalami sebarang kerosakan. – UTUSAN