SUBANG JAYA: Seramai 235 mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights mendpatkan khidmat kaunseling di Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) sejak ia mula beroperasi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Masjid Putra Heights, Selasa lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah itu, terdapat beberapa kes mangsa yang mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) akibat tragedi itu.
Bagaimanapun, katanya, jumlah mangsa yang mengalami trauma itu tidak terlalu ketara kerana hanya sekitar dalam satu peratus sahaja.
“Kalau kes yang betul-betul teruk, mereka sudah berada di hospital. Sebagai contoh, ada satu kes melibatkan seorang anak yang tidak mempunyai tempat tinggal. Ibu bapa dan kesemua adik beradiknya dimasukkan ke hospital.
“Jadi, kita dapat tahu dia memerlukan wang seperti duit tambang pengangkutan untuk berulang alik ke hospital melawat keluarga. Kita mendengar setiap masalah dan menyantuni mereka sebaiknya,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan mangsa lain yang memerlukan sokongan emosi untuk hadir mendapatkan perkhidmatan kerana seramai 10 kaunselor dari kementerian turut ditempatkan secara bergilir dalam tiga syif setiap hari di PPS.
Nancy berkata, petugas yang ditempatkan di PSS ini turut menerima pelbagai aduan dan berusaha memenuhi setiap permintaan mangsa.
“Ada yang memerlukan telefon bimbit kerana keperluan terdesak, ada yang memerlukan penyaman udara untuk anak autisme, keperluan selepas bersalin serta lampin pakai buang. Semua keperluan ini kita cuba penuhi,” katanya.
Sementara itu, Nancy berkata, jumlah sumbangan yang diterima melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kini sudah mencecah RM29,533.
Jelasnya, pihaknya berterima kasih dengan orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa yang memerlukan di PPS.
“Alhamdulillah, rakyat Malaysia ramai yang bermurah hati memberikan bantuan kewangan kerana melalui saluran ini mereka boleh menikmati pelepasan cukai.
“Ada juga seorang kanak-kanak yang menghulurkan sumbangan hasil tabungannya berjumlah RM500 kepada YKN,” katanya.
Disoal sama ada wujud keperluan untuk menambah khemah di PPS, Nancy berkata, kebanyakan mangsa sebenarnya tidak mahu lagi tinggal di pusat tersebut.
“Kalau diikutkan kebanyakan mangsa tidak mahu lagi tinggal di PPS, tetapi itu melibatkan urusan agensi lain yang perlu menguruskan perumahan dan tempat tinggal sementara,” katanya. – UTUSAN