23 warga asing berniaga secara haram ditahan

23 warga asing berniaga secara haram ditahan

BEBERAPA kanopi milik peniaga warga asing yang dirampas dan disita dibawa ke Stor Sitaan MBSP di Taman Keruing, Simpang Ampat, Pulau Pinang dengan menaiki lori.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seramai 23 warga asing yang dipercayai sedang menjalankan perniagaan secara haram ditahan dalam satu operasi bersepadu oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di beberapa lokasi berasingan di sini, Ahad lalu.

Antara lokasi tersebut ialah di Kawasan Perindustrian Golden Gateway Valdor di Sungai Bakap, Pasar Malam Taman Pelangi serta Pasar Malam Taman Nagasari.

Jurucakap MBSP memaklumkan, kesemua warga asing terbabit ditahan di bawah peruntukan undang-undang imigresen oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang.

Katanya, dalam operasi yang sama, pelbagai peralatan perniagaan tidak sah seperti mesin pengisar tebu, kanopi serta haiwan ternakan yang masih hidup termasuk ayam dan itik turut dirampas.

“Notis dan kompaun turut dikeluarkan terhadap beberapa peniaga atas pelanggaran (peraturan) yang serius seperti tidak menyelenggara perangkap minyak, tiada suntikan tifoid, serta kegagalan mematuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan.

“Semua barangan sitaan kini ditempatkan di Stor Sitaan MBSP, Taman Keruing, manakala haiwan hidup dipindahkan ke Paun Simpanan Haiwan MBSP, Taman Perindustrian Ringan Usahajaya untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Selain Jabatan Pelesenan dan Direktorat Penguatkuasaan MBSP serta JIM Pulau Pinang, operasi bersepadu itu turut disertai oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan MBSP dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melibatkan 133 anggota penguatkuasa secara keseluruhannya.

Sementara itu katanya, MBSP tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perniagaan haram khususnya yang melibatkan warga asing, demi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan keadilan kepada rakyat tempatan.

“Dalam hal ini, operasi seumpama ini akan terus diperhebatkan secara berkala bagi memastikan Seberang Perai kekal sebagai bandaraya yang bersih, tersusun dan berintegriti,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya