20 jenis Sukan Teras Prestasi Tinggi dipilih, tingkat prestasi atlet

20 jenis Sukan Teras Prestasi Tinggi dipilih, tingkat prestasi atlet

AHMAD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) di Putrajaya. - GAMBAR TPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini menetapkan sejumlah 20 jenis Sukan Teras Prestasi Tinggi memacu pembangunan sukan yang lebih cekap melibatkan semua pemegang taruh sukan.

Penetapan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu adalah komitmen kerajaan dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian atlet di peringkat antarabangsa.

“Pemilihan sukan teras ini adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria utama seperti penyertaan dan prestasi dalam kejohanan antarabangsa, pengurusan sukan dan program pembangunan atlet.

“Senarai ini akan dinilai semula setiap empat tahun mengikut kitaran temasya Sukan Olimpik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

20 jenis sukan itu ialah Akuatik (Renang & Terjun); Angkat Berat; Badminton; Berbasikal (Trek); Boling Padang; Esport; Gimnastik (Artistik & Gimrama); Hoki; Karate dan Memanah.

Selain itu ialah Menembak; Olahraga; Pelayaran; Ping Pong; Sepak Takraw; Silat; Skuasy; Taekwondo; Tenpin Boling dan Wushu.

Ahmad Zahid berkata, penetapan jenis sukan ini diyakini dapat membawa impak yang signifikan kepada pembangunan ekosistem sukan negara dengan menjadi rujukan utama kepada semua kementerian dan agensi.

Katanya, ia terutama dalam perancangan program, peruntukan sumber dan pelaksanaan dasar berkaitan pembangunan sukan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga bersetuju agar Kementerian Perpaduan Negara terus memperkasa usaha memperluas program sukan secara inklusif melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Jelasnya, program ini mengetengahkan nilai kebersamaan dengan menyediakan platform integrasi yang merentasi sempadan kaum, agama dan sosioekonomi.

“Selain itu, mesyuarat ini turut membincangkan perancangan program sukan elektronik bagi tahun 2025 oleh Kementerian Belia dan Sukan serta pengukuhan pelaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Usaha ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mencungkil bakat-bakat baharu dalam pelbagai disiplin sukan,” katanya.

Ahmad Zahid berharap, usaha ini akan mendapat sokongan padu dari semua pihak ke arah melahirkan atlet bertaraf dunia dan mewujudkan masyarakat yang sihat dan cergas.

Ia selaras dengan aspirasi nasional untuk membangunkan industri sukan serta meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya