PETALING JAYA: Pelan Transformasi Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini memasuki fasa baharu yang lebih dinamik dengan penubuhan dua pasukan khas yang akan memperkukuh dan melonjakkan Mara sebagai peneraju utama dalam memperkasakan agenda Melayu-Bumiputera.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan bahawa pelan ini amat penting untuk melakukan pembaharuan menyeluruh kepada Mara dan anak-anak syarikatnya, termasuk Mara Corp. serta 32 anak syarikat yang ada di bawahnya.
Katanya, pasukan pertama, diketuai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan Ahli Majlis Mara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, akan fokus kepada perubahan mendalam dalam aspek kewangan dan tadbir urus korporat Mara.
Sementara itu, pasukan kedua dipimpin oleh Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Tan Sri Profesor Noor Azlan Ghazali, akan memberi tumpuan kepada pengukuhan agenda pendidikan dan keusahawanan Bumiputera Mara.
Dr. Asyraf Wajdi berkata kedua-dua pasukan ini akan bekerja rapat dengan Ketua Pengarah Mara yang baharu, Datuk Zulfikri Osman, serta pengurusan tertinggi Mara untuk memastikan perubahan ini dilaksanakan dengan efektif.
“Ini juga untuk melakukan pembaharuan dan penambahbaikan kepada Mara dan anak-anak syarikatnya termasuk MARA Corp. dan 32 anak-anak syarikat di bawahnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, sesi khas selama dua jam antara Ahli Majlis MARA dan Pengurusan Tertinggi MARA membentangkan Pelan Transformasi MARA kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.
“Pelan Transformasi Mara ini telah mendapat pengiktirafan dan disahkan Menteri (Zahid Hamidi) untuk dilaksanakan segera.
“Alhamdulillah, pelan ini sudah diabsahkan untuk dilaksanakan dengan kadar segera. Mara yang merupakan konglomerat Melayu-Bumiputera dengan hampir 18,000 kakitangan, akan terus diperkasakan untuk menjadi institusi yang cemerlang, unggul, dan dihormati,” katanya. – UTUSAN