19,356 ahli PKR Kedah mula mengundi peringkat cabang

19,356 ahli PKR Kedah mula mengundi peringkat cabang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 19,356 ahli PKR Kedah layak mengundi pada pemilihan parti itu melibatkan kesemua 15 cabang di Kedah yang bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, hari ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah, Nor Azrina Surip berkata, 19,003 orang daripada jumlah itu mengundi secara dalam talian iaitu sebanyak 98.2 peratus.

Katanya, baki ahli sekitar 1.8 peratus atau 280 orang akan menunaikan tanggungjawab mengundi secara fizikal di keseluruhan 15 cabang.

“Kedah beruntung kerana akan mencipta sejarah pada hari ini menjadi negeri pertama yang akan menggunakan teknologi blockchain dalam sistem Pemilihan Keadilan 2025 kali ini menerusi aplikasi ADIL. 

“Pengundi dalam talian akan mengesahkan identiti dengan mendapatkan pas pengesahan transaksi (OTP) melalui nombor telefon yang berdaftar dan kemudiannya pengesahan melalui pengesan muka,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, pengundi secara fizikal pula hanya perlu membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat mengundi bagi pengesahan biometrik cap jari untuk pengesahan identiti. 

Katanya, proses ini menunjukkan PKR berada selangkah ke hadapan bahkan menjadi parti politik terawal di Malaysia yang meneroka perubahan menggunakan teknologi sebegini. 

“Sistem blockchain turut memberikan jaminan kepada ketelusan dan integriti dalam proses pembugaran demokrasi memilih kepemimpinan secara digital. 

“Dalam dunia moden ini, jadikan teknologi sebagai solusi bagi mengangkat martabat ketelusan dan integriti, selamat menunaikan tanggungjawab buat semua anggota PKR Kedah yang layak mengundi hari ini,” katanya.

Mengikut rekod, Cabang Kulim Bandar Baharu mencatatkan jumlah pengundi teramai iaitu 2,078 orang dengan lebih 90 peratus menunaikan tanggungjawab mereka kepada parti secara dalam talian.

Cabang Padang Serai menyaksikan seramai 2,029 pengundi diikuti Cabang Jerai (1,912); Alor Setar (1,578); Jerlun (1,495); Merbok (1,369); Sungai Petani (1,036) dan 1,201 pengundi masing-masing di Cabang Langkawi dan Pokok Sena. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya