193 pekerja Menara KL diserap semula

193 pekerja Menara KL diserap semula

MENARA KUALA LUMPUR- FACEBOOK MENARA KL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 193 daripada 205 kakitangan Menara Kuala Lumpur yang ditamatkan perkhidmatan oleh syarikat konsesi lama pada 31 Mac lalu bakal diserap semula oleh syarikat pengurusan baharu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kementerian memastikan kebajikan para pekerja terbela dengan menetapkan syarat agar kesemua kakitangan berpengalaman ditawarkan semula pekerjaan oleh LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM) tanpa sebarang pengurangan daripada segi gaji atau faedah.

“Ramai dalam kalangan pekerja ini telah 17 hingga 20 tahun berkhidmat dengan Menara Kuala Lumpur. Mereka tahu selok-belok bangunan dan telah lama bekerja di situ.

“Maka syarikat baharu telah menawarkan dengan syarat no less favourable. Kalau gaji mereka pada tahap tertentu dengan syarikat lama, tidak boleh kurang daripada apa yang mereka terima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula hari ini untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan, memaklumkan tarikh pembukaan semula menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula hari ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan susulan pertikaian dalam proses pengambilalihan konsesi.

Katanya, pengambilalihan rasmi pengurusan menara oleh syarikat baharu bermula 1 April lalu selepas kontrak pengendali terdahulu, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) tamat pada 31 Mac.

Bagaimanapun, beliau berkata, disebabkan syarikat lama enggan mengosongkan premis, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengambil tindakan memasuki premis pada malam1 Syawal iaitu pada 12 April mengikut peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

“Premis itu adalah hak milik sepenuhnya kerajaan Malaysia dan kini di bawah seliaan rasmi Kementerian Komunikasi.

“Kita perlu bertindak segera agar syarikat baharu boleh memulakan operasi dan menjalankan kerja-kerja penting bagi menjamin keselamatan pengunjung,” jelasnya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati banyak kerosakan dikenal pasti di kawasan restoran berputar, ruang dapur serta pagar keselamatan (reeling) yang boleh menjejaskan keselamatan pelawat.

“Kita lihat ada reeling yang berada di dek telah diturunkan, ini saya rasa agak merisaukan. 

“Sekiranya menara dibuka, kita akan umumkan tarikh (tarikh) pembukaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya