14 individu direman kes palsu butiran kelahiran anak

14 individu direman kes palsu butiran kelahiran anak

SUSPEK dibawa anggota SPRM untuk direman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SHAH ALAM: Seramai 14 individu ditahan bagi membantu siasatan kes pemalsuan butiran pengesahan kelahiran bayi untuk menjadi anak sah mereka menerusi Ops Birth di sini, semalam.

Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia 28 hingga 49 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 6.30 petang.

Mereka dipercayai melakukan permohonan palsu itu antara 2015 hingga 2023.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati semua individu itu mendapatkan khidmat ejen bagi mengurus dan menyediakan dokumen pengesahan kelahiran bayi dari hospital sekitar negeri ini.

“Mereka dipercayai membayar wang antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi tujuan mendapatkan pengesahan dokumen itu.

“Difahamkan, mereka tidak mempunyai anak namun mahu mendapatkan anak dengan memalsukan dokumen sijil lahir,” katanya.

Menurut sumber itu, suspek disyaki hanya mengambil anak pada peringkat bayi yang baru dilahirkan ibu bapa asal mereka.

“Namun, siasatan masih dijalankan sama ada bayi-bayi itu daripada yang tidak sah taraf atau warga asing.

“Semua suspek membuat permohonan MyKid dan sijil kelahiran anak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan mengemukakan Borang Daftar Kelahiran namun disyaki mengandungi butiran matan palsu, ” tambahnya.

Terdahulu, 14 individu itu direman selama lima hari selepas perintah dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Permohonan reman dibuat Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa SRPM, Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi.

Kesemua suspek pula diwakili peguam Ong Jain Kai, A. Lingeswaran, M. Pani, C. Aiswarya Devi dan Sean Dudley.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan suspek itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya