PETALING JAYA: Seramai 127 penduduk daripada 29 keluarga mangsa banjir di Kinabatangan, Sabah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul lapan pagi tadi.
Semua mangsa berkenaan di pindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam, Kinabatangan.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 14 penduduk daripada tiga keluarga berlindung di PPS berkenaan pada tengah hari semalam.
“Semua mangsa terbabit adalah penduduk empat kampung terjejas banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Pusat Kawalan Operasi Bencana mengeluarkan Arahan Pengosongan berdasarkan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No 1 dengan mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon merah.
Tindakan itu diambil susulan kedegilan sebahagian penduduk enggan berpindah ke PPS walaupun paras air sungai melebihi paras bahaya. – UTUSAN