MELAKA: Seramai 11,224 ahli akan mengundi secara dalam talian manakala 94 orang lagi secara fizikal bagi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di enam cabang di Melaka, hari ini.
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Muhammad Asri Ibrahim berkata, keputusan yang akan diketahui seawal pukul 7 petang nanti akan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dipengerusikan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Menurutnya, seramai 517 calon telah menawarkan diri merebut 46 jawatan yang dipertandingkan seperti ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan ahli jawatankuasa termasuk sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita.
“Saya difahamkan setakat ini perjalanan undian secara dalam talian berjalan lancar tanpa ada sebarang gangguan pada kaedah yang digunakan pada pemilihan hari ini menyaksikan 11,318 ahli layak untuk mengundi.
“Bagi undian secara fizikal seramai 94 ahli telah memohon dan kita buka pusat pengundian di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
“Setakat ini tiada calon yang diumumkan menang tanpa bertanding baik bagi jawatan ketua cabang, timbalan dan naib ketua kerana tiada yang menarik diri apabila pengundian bermula pukul 8 pagi tadi,” katanya.
Muhammad Asri berkata, pengundian secara fizikal di MITC juga berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku, walaupun setakat pukul 1 tengah hari hanya sembilan daripada 94 ahli hadir melaksanakan tanggungjawab mereka. – UTUSAN