KUALA LUMPUR: Seramai 1,089 anggota dan pegawai ditugaskan bagi kawalan keselamatan dan trafik sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia bermula esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kawalan keselamatan bermula esok sehingga Khamis bagi memastikan lawatan tersebut berjalan lancar.
Katanya, penutupan sepenuhnya laluan yang terlibat adalah satu keperluan ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) keselamatan bagi acara-acara penting terutama membabitkan pemimpin negara.
“Beberapa jalan akan ditutup sepenuhnya selama 30 hingga 40 minit kerana satu keperluan bagi memastikan semua yang dirancang berjalan lancar.
“Justeru, kita menasihatkan orang ramai agar memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya sama ada terdapat ancaman sempena lawatan terbabit, Rusdi berkata, tindakan itu perlu dilakukan kerana lawatan itu membabitkan pemimpin dunia yang ‘penting’.
“Di mana-mana ada risiko tertentu dan ancaman, namun ia adalah SOP biasa bagi lawatan melibatkan pemimpin yang menguasai ekonomi dunia.
“Kita perlu pastikan negara kita menyambut mereka (delegasi China) dengan baik dan teratur,” katanya.
Media semalam melaporkan, sebanyak 17 laluan utama di Lembah Klang dan Putrajaya akan ditutup atau dilencongkan sementara dari hingga 17 April ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan, penutupan jalan secara penuh dan lencongan akan dilakukan selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi negara tersebut.
Katanya, antara laluan yang terlibat termasuk Lebuh Raya ELITE, MEX, SUKE, NPE, KESAS, Terowong Smart serta beberapa jalan utama di Putrajaya seperti Persiaran Selatan dan Lebuh Gemilang.
“Jalan-jalan utama di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur turut terlibat antaranya Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Damansara dan Jalan Istana.
“Pada 15 April ini, penutupan akan bermula pukul 6 petang melibatkan laluan dari Lebuh KLIA hingga ke Jalan P5 Putrajaya manakala pada 16 April, penutupan dijadualkan pada tiga waktu iaitu 9.30 pagi, 12.30 tengah hari dan 4.10 petang,” katanya.
Menurutnya, pada 17 April pula, laluan terakhir akan ditutup bermula pukul 8.50 pagi melibatkan pergerakan dari Putrajaya ke KLIA.- UTUSAN