KUALA LUMPUR: Bermula sebagai hobi, pelakon, Zulin Aziz, tidak menyangka perniagaan gelang manik yang diusahakan secara suka-suka mendapat perhatian ramai.
Jelas Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz, 36, dia kini menghabiskan masa lebih kurang 19 jam sehari untuk menyiapkan tempahan.
“Asalnya memang saya suka buat gelang manik, dekat rumah memang ada banyak gelang sebab hobi. Kawan-kawan cadang untuk jual sebab ramai sudah bertanya.
“Suatu hari saya saja post, sekali masuk 300 pesanan pada hari pertama Ramadan, mungkin sebab murah iaitu RM30. Mereka yang tempah pula mahu lebih daripada satu gelang, kadang sampai enam gelang ikut warna baju raya mereka.
“Setiap gelang akan mengambil masa satu jam untuk disiapkan. Jadi, setiap hari saya akan mula buat gelang pada pukul 8:30 pagi dan tidur pada pukul tiga pagi,” katanya.
Zulin ditemui di Majlis Berbuka Puasa dan Pembukaan Rasmi Banafee Mart Ampang, semalam.
Dalam pada itu, pelakon Penjara Janji itu bersyukur kerana suami, Farhan Norzaini memahami kesibukannya menguruskan perniagaan dan tidak pernah memaksanya masak juadah berbuka puasa.
“Masak pun kadang-kadang sahaja. Suami faham, sebab dia pun berniaga juga. Kadangkala kami makan di luar atau beli sahaja di bazar.
“Tapi saya fikir, perniagaan gelang manik ini hanya mahu buat semasa bulan Ramadan sahaja kerana ia memerlukan ketelitian. Kasihan juga suami, takkan saya asyik tidak masak?
“Selain itu, saya juga buat perniagaan kosmetik secara kecil-kecilan. Itu juga perlukan wajah saya untuk jual siaran langsung di aplikasi TikTok. Mahu atau tidak, kita kena buat sebab ada komitmen dan periuk nasi pekerja yang perlu dijaga,” tambahnya.