PETALING JAYA: Seorang doktor pakar kanak-kanak memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Zayn Rayyan Abdul Matiin hanya mampu menyebut 30 patah perkataan.
Kanak-kanak austime itu juga tidak mampu menyambung dua perkataan pada umur 6 tahun.
Perkara itu dinyatakan oleh Doktor Pediatrik, Bernice Lim Pei-Yi sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi dengan merujuk kepada laporan perubatan yang disediakan oleh saksi itu.
Laporan perubatan berhubung pertuturan Zayn Rayyan iyu disediakan selepas Zayn Rayyan menghadiri dua temujanji di Klinik Pediatrik Hospital Selayang.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua temu janji yang dihadiri pada 4 Oktober 2022 dan 5 September 2023 itu dilakukan oleh dua pegawai perubatan berbeza dan tidak dikendalikan olehnya secara langsung.
“Secara am, jika seorang pesakit yang berumur 6 tahun seperti arwah (Zayn Rayyan) tidak dapat menunjukkan perkembangan yang selari dengan usia, ia dikira delay (lembab).
“Berdasarkan rekod dalam nota perubatan, arwah hanya boleh bercakap menggunakan 30 perkataan dan masih belum menyambung perkataan. Ia tidak selari dengan seorang (kanak-kanak) yang berumur 6 tahun,” katanya yang juga bekas Doktor Pakat Pediatrik Hospital Selayang.
Semalam, Pegawai Perubatan di Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL) Hospital Sungai Buloh, Dr. Hanisah Abd. Nasir memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, bahawa tahap pertuturan Zayn Rayyan ketika berusia dua tahun adalah teruk.
Menurut Dr. Hanisah ketika Zayn Rayyan menjalani terapi pertuturan pada umur dua tahun, kanak-kanak itu didiagnos sebagai ‘kelewatan bahasa reseptif dan ekspresif’ tahap teruk.
Selain itu, Dr. Bernice juga berkata, berdasarkan dua nota perubatan yang dirujuk itu, Zayn Rayyan turut mempunyai ciri-ciri ‘sensory seeking behaviour’ yang lazimnya ditemui pada kanak-kanak autisme.
“Sensory seeking behaviour adalah ciri yang sangat biasa dalam kalangan kanak-kanak dengan autisme, di mana mereka cenderung mencari cara untuk meningkatkan rangsangan deria dan diri.
“Saya merujuk kepada nota yang terdapat dalam rekod Hospital Selayang. Dua ciri yang direkodkan adalah hitting objects on wall (memukul objek ke dinding) dan ‘petting self’,” katanya yang kini bertugas di Sri Kota Specialist Medical Centre, Klang.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Nor Syahliza Warnoh akan bersambung pada 7 April ini.
Pihak pendakwaan masih mempunyai baki empat orang saksi yang akan dipanggil untuk prosiding akan datang.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan masih kekal mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum Rm50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.-UTUSAN