KANGAR: Pendakwah bebas, Zamri Vinoth direman dua hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung hantaran di Facebooknya yang disyaki menghina agama dan menggugat ketenteraman awam
Perintah reman sehingga 29 Mac itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd. Nor terhadap pendakwah berusia 41 tahun itu.
Terdahulu, Zamri kelihatan tenang sewaktu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar, di sini, sekitar pukul 8.47 pagi dengan menaiki van Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau hadir dengan berpakaian serba hitam turut sempat melaungkan kata-kata ‘lawan tetap lawan’ ketika dibawa masuk ke kompleks itu bagi mendapatkan perintah reman tersebut.
Selain itu, turut kelihatan penyokong beliau yang setia menanti di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar, di sini, sebagai tanda solidariti ke atas pendakwah itu.
Bagi prosiding permohonan reman itu, Zamri diwakili seramai 10 peguam diketuai oleh Zuhair Mohd. Zakuan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Zamri ditahan di Kangar kerana disyaki menghina agama dan menggugat ketenteraman awam melalui satu hantaran di Facebook.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang penganggur berusia 62 tahun pada pukul 6.30 petang, pada Rabu berhubung kes itu.
Katanya, pengadu mendakwa terbaca satu komen di media sosial atas nama Zamri Vinoth mengenai hasil rundingan penempatan semula tapak sebuah kuil di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, yang berunsur hasutan dan mencemarkan agama Hindu.
Di samping itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo bagi membantu siasatan kes terbabit di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Malah, tindakan lanjut turut dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkaitan Facebook milik pendakwah itu.-UTUSAN