PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merujuk kertas siasatan membabitkan Zamri Vinoth ke Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas didakwa menghina agama Hindu di Facebook miliknya baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan terbabit diserahkan pada AGC semalam untuk tindakan lanjut.
“Kita sedang menunggu arahan daripada AGC berkaitan kes terbabit.
“Setakat ini, sebanyak 894 laporan polis diterima ke atas Zamri Vinoth di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini..
Sabtu lalu, media melaporkan pihak polis telah merakam keterangan Zamri Vinoth selepas menerima laporan daripada pengadu berusia 48 tahun di Iskandar Puteri, Johor berkaitan satu hantaran yang dimuat naik di Facebook didakwa menghina agama Hindu.
Razarudin dilaporkan berkata, pengadu mendakwa hantaran tersebut seperti “sebut Vel vel tidak sampai hilang nyawa orang tetapi apa yang berlaku di kuil Seafield tu pernah menjadi penyebab nyawa Adib Hilang!”
“Susulan itu, kita menjalankan siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, dalam satu hantaran di laman sosial Facebook Zamri, beliau menyifatkan penganut Hindu dalam upacara kavadi ketika Thaipusam, sebagai “macam orang kena rasuk sambil mabuk todi.”
Bagaimanapun Facebook sudah menurunkan hantaran asal dibuat pendakwah bebas, Zamri Vinoth, yang didakwa mempersenda upacara kavadi mengikut kepercayaan Hindu. – UTUSAN