ALOR SETAR: Di sebalik kekeliruan berhubung beras campur, umat Islam di negeri ini diseru menunaikan zakat fitrah mengikut kegunaan masing-masing iaitu RM7 bagi beras tempatan dan RM14 untuk beras import.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berkata, kadar itu kekal sehingga pihaknya memperincikan kajian berhubung perkara itu di peringkat kerajaan Pusat.
“Kami belum lagi membuat satu kajian secara mendalam kerana pertamanya, kita perlu mengenal pasti tentang cara mencampuri beras ini. Adakah ia dicampurkan sama ada lebih banyak beras tempatan daripada yang betul dan sebagainya.
“Bagaimanapun kita mengikuti perkembangan di sana iaitu langkah-langkah untuk melihat secara lebih terperinci berkenaan dengan cara mencampur antara beras tempatan dengan beras import itu.
“Jadi, setelah melihat apa yang akan dilakukan di sana dan kriteria-kriteria yang akan diperlukan barulah kami di sini akan menyusuli melihat dan memberi pandangan, sehingga itu kadar tersebut kekal,” katanya selepas Pengumuman Prestasi Keseluruhan Kutipan dan Agihan Zakat dan Ketetapan Zakat Fitrah, di sini semalam.
Semalam, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan dua kadar zakat fitrah iaitu RM7 dan RM14 berbanding tiga kadar seperti tahun sebelum ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Norizan Khazali berkata, penetapan dua kadar itu mengambil kira keperluan hidup harian penduduk negeri ini yang cuma menggunakan dua kategori beras sahaja.
Bagi tujuan memudahkan orang ramai, LZNK menyediakan 22 saluran bayaran secara dalam talian untuk menunaikan zakat fitrah pada tahun ini seperti tiga portal dan aplikasi rasmi LZNK iaitu Portal Jom Zakat, aplikasi Zakat On Touch dan MyAmil. – UTUSAN