SEREMBAN: Sempena bulan Ramadan ini, pihak Yayasan Matrix Concepts memberikan sumbangan dan meraikan penghuni tiga buah rumah kebajikan dan pelatih kemahiran dalam kalangan orang kurang upaya pada majlis berbuka puasa di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.
Pengerusinya, Datuk Noordin Mohd. Yatib berkata, rumah-rumah kebajikan itu terdiri daripada Darul Asnaf Seri Tanjong, Darul Asnaf Seri Sendayan dan Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan dan pusat latihan Bengkel Seri Sembilan.
Katanya, menerusi program berkenaan, pihaknya turut menyumbang sebanyak RM5,000 kepada semua rumah kebajikan terlibat.
“Sebagai cabang amal syarikat pemaju perumahan dan hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) kami terus komited membantu masyarakat yang memerlukan.
“Kam bersyukur diberi peluang untuk berkongsi rezeki dan kegembiraan bersama anak-anak yatim dan penjaga empat buah rumah kebajikan ini.
“Seperti tahun-tahun sudah, program sebegini dapat memupuk semangat perpaduan selain muhasabah dan menghayati intipati bulan Ramadan,” katanya di sini.
Katanya, sumbangan kewangan dan pemberian duit raya, cenderahati turut disampaikan kepada setiap rumah kebajikan tersebut.-UTUSAN