PETALING JAYA: Kanak-kanak perempuan bernama ‘Yaya’ yang tular di TikTok selepas ditemukan merayau bersendirian di sekitar Serdang Perdana, di sini sudah diserahkan kepada ibu bapanya hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 3.42 pagi ketika seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun baru selesai bersahur di sebuah kedai makan, di sini.
Menurutnya, siasatan mendapati kanak-kanak itu keluar sendirian dari rumahnya melalui pintu yang tidak berkunci.
“Pengadu ternampak seorang kanak-kanak perempuan berusia lebih kurang tiga tahun berjalan seorang diri di hadapan kedai makan berkenaan sambil membawa wang tunai RM2.
“Pengadu membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Seri Kembangan setelah kanak-kanak itu gagal menunjukkan rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan kanak-kanak itu pada 4.35 pagi.
Jelasnya, ibu bapa kandung kanak-kanak berkenaan hadir ke Balai Polis Seri Kembangan untuk membuat laporan pada 7.50 pagi selepas menyedari anak mereka tiada di rumah
“Hasil siasatan mendapati, kanak-kanak itu berjalan lebih kurang 100 meter dari pondok pengawal keselamatan apartmen tempat tinggalnya tanpa disedari oleh pengawal keselamatan.
“Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada ibu kandungnya setelah pengesahan dibuat melalui sijil kelahiran serta kad pengenalan ibu dan bapanya,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial satu klip video berdurasi 40 saat dimuat naik seorang pengguna TikTok memaparkan dirinya menemui seorang kanak-kanak bernama Yaya.
Dalam video itu lelaki berkenaan mendakwa menemui Yaya berjalan seorang diri sambil membawa wang RM2 lalu membawa kanak-kanak itu ke balai polis berhampiran.- UTUSAN