PETALING JAYA: Pelawak yang juga ahli anggota Senario, Saiful Apek, mengesahkan rakannya, Yassin, akan pulang ke tanah air sebelum Aidilfitri ini.
Menurut Apek, kepulangan Yassin nanti akan menjawab segala spekulasi terutama dakwaan yang mengaitkannya dengan pelawak yang ditahan di Jeddah, Arab Saudi akibat kes dadah awal tahun lalu.
“Dari maklumat keluarga, difahamkan Yassin akan pulang sebelum Aidilfitri ini.
“Kami berdiam diri kerana menghormati keluarga. Alhamdulillah, kami lega dapat tahu dengan lebih jelas apa yang berlaku.
“Saya tak kisah orang nak cakap saya berat sebelah atau sengaja nak ‘cover line’, tapi apa yang boleh saya katakan, Yassin mungkin tidak pandai mana, tapi dia juga tak bodoh.
“Di Arab Saudi, jika terbabit dalam kes seperti ini (dadah), hukumannya hudud (bunuh), tiada pelepasan untuk dua atau tiga bulan,” kata Apek.
Sementara itu, Apek turut menyangkal dakwaan kononnya Yassin ditahan di penjara sebaliknya kini berada di pusat pemulihan membolehkannya khatam 20 juzuk al-Quran.
“Berat badan Yassin bukan sahaja bertambah dari ‘s’ ke ‘m’, tetapi lebih membanggakan, sudah katam 20 juzuk al-Quran.
“Dia bukan ditahan di penjara, sebaliknya pusat pemulihan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kedai runcit.
“Jadi, saya nak menyeru hentikan segala spekulasi, tunggu hingga tuan badan pulang. Biarlah Yassin sendiri menjelaskan apa yang berlaku. Dia bukan ditahan di penjara, sebaliknya pusat pemulihan.
“Saya lega melihat keadaannya baik di sana hingga boleh hafaz 20 juzuk al-Quran. Tiada perkara terjadi secara kebetulan dan saya gembira dengan perubahannya itu,” katanya yang menghubungi Yassin menerusi aplikasi Zoom.
Terdahulu, media melaporkan, seorang pelawak ditahan di Jeddah selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja.
Memandangkan nama pelawak tidak didedahkan, ramai membuat andaian individu itu ialah Yassin kerana dia dilihat tidak hadir di beberapa majlis Senario sebelum ini. -UTUSAN